Welcome in English or Ahlan Wasahlan in Arabic or Selamat Datang in Malay.

I have been a Human Resource professional for more than 20 years working in a wide spectrum of areas within Human Resource. I have progressed up the corporate ladder from the very bottom with rapid and multiple promotions, praise to God. My main interests are motivation and child development

If you have any specific queries you would like to post to me, please email to amzzah_naseehah@ymail.com.

Kind regards
hjmalek

Pages

Monday 13 January 2014

KERJAYA : PENERBANGAN TERUS ATAU PENERBANGAN BERHENTI-HENTI

Semasa saya menuntut di sekolah, saya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan ahli politik yang berpengaruh. Cita-cita ini dibentuk mungkin kerana pertamanya saya telah terdedah kepada dunia perniagaan sewaktu kecil seperti menjaja jagung rebus dan buah cempedak di sekeliling kampung tempat saya tinggal.

Selain dari itu, saya juga berminat mengenai politik ketika saya masih lagi di tingkatan dua dengan saya mengikuti isu politik semasa di Malaysia dan perkembangan dakwah yang merangkumi aspek sosial dan kenegaraan. Saya mengaitkan usahawan yang berjaya dan ahli politik berpengaruh kerana pada pandangan saya, saya harus bebas dari kongkongan kerjaya dan berupaya menjana dana sendiri untuk menjadi seorang ahli politik yang berpengaruh.

Semasa di universiti pula saya mengikuti kursus kejuruteraan dan matematik. Minat saya masih kekal kepada alam perniagaan dan politik. Namun saya berasa sangsi samada kursus yang saya ikuti itu dapat merealisasikan impian saya untuk menjadi usahawan yang berjaya kerana bidang yang saya pelajari tiada berkaitan langsung dengan perniagaan. Sesudah itu, saya mengikuti pula kursus perniagaan dan ini meletakkan saya sangat hampir dengan impian saya. Namun sesudah tamat pengajian, kesedaran bahawa perniagaan memerlukan modal yang tidak sedikit dengan keadaan saya yang tidaklah berharta dan mewah membuatkan saya memendamkan dulu impian itu. Malahan pula keadaan ekonomi yang merudum sebaik saja tamat pengajian saya tidak membantu saya mengejar cita-cita tersebut.

Akhirnya setelah tamat semua pengajian saya, saya mula berkerja di dalam bidang Sumber Manusia. Namun saya masih lagi menyimpan cita-cita saya yang asal. Apa yang boleh saya lakukan ketika itu ialah dengan menceburkan diri saya di dalam perniagaan jualan langsung. Percaya atau tidak, saya menguruskan aktiviti perniagaan jualan langsung saya seolah-olah ianya perniagaan yang sebenar. Saya mempunyai set akaun yang lengkap dengan akaun-akaun jualan, belian, tunai, bank dan akaun timbang tara. Saya lakukan ini sehinggakan untung bulanan bersih yang saya perolehi mencapai ratusan ringgit setelah ditolak segala kos. Kejayaan tertinggi saya ialah saya dianugerahkan bintang pencapaian dari skim syarikat jualan langsung tersebut. Namun masa berlalu dengan penambahan komitmen keluarga dan desakan kerja. Akibatnya masa untuk aktiviti jualan langsung semakin mengecil dan syarikat jualan langsung itupun menghadapi masalah dan seterusnya ditutup.

Sekarang saya berkerja sepenuh masa sebagai ahli profesional di dalam bidang Sumber Manusia. Namun, di waktu lapang, saya menguruskan perniagaan melalui khidmat konsultansi pengurusan dan khidmat nasihat sumber manusia melalui syarikat saya sendiri. Di waktu yang sama, saya terlibat di dalam kegiatan politik. Saya masih belum mencapai cita-cita saya yang sebenar namun usaha saya masih ke arah itu dan perjalanan ini akan saya teruskan.

Pengajaran yang saya perolehi dari perjalan hidup saya setakat ini ialah cita-cita itu merupakan satu matlamat dan jalan ke arah matlamat itu mungkin merupakan penerbangan terus dan ada juga penerbangan yang berhenti-henti. Sekiranya kita melalui penerbangan yang berhenti-henti, pastikan di setiap perhentian kita mengumpul sebanyak pelajaran dan pengalaman agar bila kita sampai ke destinasi terakhir, kita masih dapat menggunakan segala manafaat yang dikutip di sepanjang perjalanan dan perhentian tersebut.

No comments: